Skip to main content

School of Physics - Universiti Sains Malaysia

USMAPEX v  PNG

Program SULAM: STEM x Lab – Code, Build, Innovate – Meneroka Dunia STEM Bersama Pelajar MRSM

11 Jun 2025 - Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertajuk STEM x Lab: Code, Build, Innovate di bawah Kursus Latihan Bengkel dan Reka Bentuk Produk (ZKT244). Program ini merupakan inisiatif satu hari yang menyasarkan penyertaan seramai 80 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.


Program ini dibahagikan kepada dua sesi. Pada sebelah pagi, ia melibatkan penyertaan pelajar dari MRSM Transkrian, manakala sesi petang dihadiri oleh pelajar dari MRSM PDRM, Kulim. Dua bengkel telah dijalankan secara serentak sepanjang program ini, iaitu Bengkel Arduino dan Bengkel Pencetakan 3D. Kedua-dua bengkel dikendalikan sepenuhnya oleh 17 orang pelajar prasiswazah daripada Kursus ZKT244, dengan bimbingan serta nasihat daripada dua pensyarah Pusat Pengajian Sains Fizik, iaitu Dr. Beh Khi Poay dan Dr. Afiq Arif Aminuddin Jafry.


Bengkel ini memfokuskan aktiviti berasaskan amali, termasuk penggunaan perisian Tinkercad untuk mereka bentuk model 3D dan simulasi litar elektronik. Selain itu, pelajar turut berpeluang merasai sendiri pengalaman melakukan pencetakan 3D serta menyambung litar elektronik dengan bimbingan tenaga pengajar dan fasilitator daripada USM.
Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar-pelajar sekolah. Di samping itu, program ini turut bertujuan mengukuhkan jaringan kolaborasi antara MRSM dan Pusat Pengajian Sains Fizik, USM.


Program ini juga memberi peluang kepada pelajar-pelajar prasiswazah USM untuk menimba pengalaman dalam penganjuran program serta memupuk keyakinan diri dan jati diri sebagai tenaga pengajar dan fasilitator muda yang berkemahiran dalam penyampaian ilmu serta pengendalian bengkel secara berkesan.


Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Bahagian Kecemerlangan Akademik Jabatan Pengajian Tinggi dan Pusat Rancangan Ko-Kurikulum USM di atas dana yang telah diberikan bagi menjayakan penganjuran program ini. Sokongan yang diberikan amat dihargai dan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa pendidikan STEM dalam kalangan pelajar sekolah.