Skip to main content

School of Physics - Universiti Sains Malaysia

USMAPEX v  PNG

STEM Youth Program 2025 – ASM Northern Chapter

27 Ogos 2025 – Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor telah menganjurkan STEM Youth Program 2025 yang melibatkan seramai 350 murid Tahun 4, 5 dan 6. Program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi ASM Northern Chapter yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, YBrs. Profesor Dr. Habibah A. Wahab, FASc.

Dalam usaha menyemarakkan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) turut mengambil bahagian dengan menghantar seramai 13 orang pensyarah dan pelajar untuk mengendalikan pameran serta aktiviti interaktif bersama murid-murid sekolah.

Antara aktiviti yang menarik perhatian para peserta ialah:

• Pengenalan kepada komponen elektronik dan sambungan litar menggunakan Snap Circuit.
• Modul “Fun with Painted Electronics” yang memperkenalkan asas elektronik melalui litar bercat secara interaktif.
• Demonstrasi penderia dan pelbagai alat pengukuran.
• Peralatan mudah bagi menerangkan konsep asas fizik seperti gelombang, paramagnetisme, diamagnetisme, arus pusar (eddy current) dan motor DC.
• Pengendalian teleskop serta pendedahan tentang kaedah melaraskan fokus kanta teleskop.
• Penerokaan objek-objek cakerawala dalam sistem suria.
• Demonstrasi cahaya melalui fiber optik serta penyambungan fiber optik.
• Aktiviti interaktif Plasma Ball yang memberikan pengalaman unik berkaitan tenaga elektrik.
• Demonstrasi superposisi cahaya tampak.
• Demonstrasi tekanan hidrostatik menggunakan manometer tiub-U.

Program ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran STEM yang menyeronokkan kepada murid, malah turut memperkukuh hubungan kerjasama antara Akademi Sains Malaysia (ASM), Pusat Pengajian Sains Fizik, USM dan SK Bukit Gelugor.

Para murid menunjukkan minat yang tinggi dan bersemangat dalam menyertai aktiviti yang dijalankan, sekali gus mencerminkan keberkesanan penganjuran program ini dalam menyemai kecintaan terhadap STEM sejak di bangku sekolah.