Skip to main content

School of Physics - Universiti Sains Malaysia

USMAPEX v  PNG

Lawatan MyCEB ke Pusat Pengajian Sains Fizik, USM Perkukuh Usaha Penganjuran Persidangan Antarabangsa

Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menerima kunjungan wakil daripada Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), iaitu Encik Mohammad Azlan Sabri, Assistant Manager, Sales Convention, dan Puan Wan Nur Farhana, Executive, Sales Convention, dalam satu sesi perbincangan konstruktif yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademik dan agensi kerajaan serta menyokong usaha penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa.

Sesi pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dalam penganjuran persidangan dan program akademik antarabangsa, termasuk usaha pembidaan persidangan dalam bidang Near-Infrared Spectroscopy (NIRS). MyCEB turut berkongsi maklumat berkaitan bentuk sokongan strategik yang boleh diberikan kepada institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh bidaan dan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan dan saintifik.

Pusat Pengajian Sains Fizik juga merakamkan penghargaan atas sokongan MyCEB dalam menaja penyertaan dua orang pensyarah ke Rome pada tahun 2025 bagi tujuan proses pembidaan persidangan tersebut. Sokongan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa penglibatan institusi tempatan di peringkat global.

Lawatan ini bukan sahaja mengukuhkan jaringan kerjasama antara USM dan MyCEB, malah juga menjadi sebahagian daripada inisiatif berterusan Pusat Pengajian Sains Fizik untuk terus menjalinkan hubungan strategik dengan agensi-agensi kerajaan, memperkasa pembangunan akademik, memperluas jaringan kolaborasi, serta meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai hab ilmu dan inovasi di persada antarabangsa. Turut hadir wakil pensyarah daripada Pusat Pengajian Sains Kajihayat.