Mesyuarat Penyelarasan Konvensyen Falak Negeri Pulau Pinang 2026
Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF), Universiti Sains Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Penyelarasan Konvensyen Falak Negeri Pulau Pinang 2026 Bil. 3/2026 bersama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP), sebagai lanjutan usaha kolaboratif strategik antara kedua-dua pihak dalam menjayakan Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang bakal berlangsung pada 14 hingga 15 Oktober 2026 di USM.
Mesyuarat turut membincangkan pengesahan minit dan maklum balas Mesyuarat Bil. 2/2026, susulan cadangan JMNPP agar PPSF menerajui pengurusan jemputan pembentangan poster penyelidikan daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkaitan, serta perkembangan Jawatankuasa Pelaksana (LOC) peringkat Fizik yang diketuai oleh Dr. Idahwati binti Sarudin, pensyarah bidang astronomi dan sains angkasa PPSF, selaku Penyelaras Utama.
Aktiviti ini turut disertai dengan pertukaran cenderahati antara pihak pengurusan PPSF dan JMNPP sebagai simbolik keakraban hubungan kerjasama dua hala, di samping kunjungan hormat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke PPSF bagi meneruskan perbincangan mengenai skop kerjasama akan datang, termasuk potensi Memorandum Persefahaman (MoA) antara USM dan JMNPP.
IMPAK / FAEDAH
Mengukuhkan jalinan kerjasama strategik antara PPSF/USM dan JMNPP dalam bidang falak; memantapkan persediaan pelaksanaan Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026; serta meningkatkan penglibatan komuniti akademik dan agensi kerajaan/swasta dalam pembangunan ilmu falak di peringkat negeri.
AGENSI KERJASAMA YANG TERLIBAT
Selaras dengan sifat multidisiplin ilmu falak, Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 turut disokong menerusi kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan sebagai rakan program, sebagaimana disenaraikan dalam Kertas Cadangan Program JMNPP. Agensi kerajaan yang terlibat:
• Universiti Sains Malaysia (USM)
• Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Pulau Pinang
• Jabatan Meteorologi Malaysia
• Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang
• Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang
• Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang
• Kolej Matrikulasi Pulau Pinang
Badan bukan kerajaan/pertubuhan yang turut terlibat:
• Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang
• Sahabat Langit Utara (SALUT)



- Hits: 127
